Black Soldier Fly ( BSF ) sebagai perosak kelulut | Bagaimana cara mengawalnya?

Black Soldier Fly ( BSF ) sebagai perosak kelulut | Bagaimana cara mengawalnya?


Isi kandungan

1) Pengenalan.

2) Jangka Hayat BSF.

3) Kaedah Kenal Pasti Serangan.

4) Langkah-langkah Merawat dan Mengatasi Serangan BSF.


Pengenalan

Industri penternakan lebah Malaysia pernah digemparkan dengan serangan Black Soldier Fly (BSF), juga dikenali sebagai Hermetia illucens pada sekitar tahun 2016. Lalat ini diternak secara komersial sebagai sumber protein untuk ternakan, tetapi jika cuaca panas yang berpanjangan, BSF akan mencari tempat pembiakan yang lebih kondusif, dan antara tempat yang digemari ialah di sarang lebah yang mempunyai sumber makanan (madu dan roti lebah). Setakat ini, serangan BSF terhadap koloni lebah madu kelulut telah dikesan di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Pahang, dan jumlah kerugian telah dianggarkan melebihi RM1.2 juta.


Jangka Hayat BSF

Black Soldier Fly, adalah seranggan yang berasal daripada Amerika ia telah merebak ke banyak bahagian lain di dunia setelah tamat perang dunia kedua. Lalat ini mempunyai jangka hayat hanya lima hingga tujuh hari dan BSF dewasa betina boleh bertelur sehingga 500 telur sepanjang hayatnya. Bagaimanapun, BSF dewasa hanya memainkan peranan dalam membiak dan bertelur – mereka tidak perlu makan atau minum. Oleh itu, lalat BSF dewasa ini tidak dianggap sebagai serangga pembawa penyakit. Peringkat larva Black Soldier Fly adalah peringkat yang berguna untuk pelbagai tujuan, termasuk pengkomposan sisa organik. Terdapat beberapa syarikat yang menggunakan BSF untuk mengompos sisa organik, termasuk ESR International LLC di Dallas, Texas. Akhir sekali, Black Soldier Flies yang matang juga sesuai untuk dikomersialkan sebagai sumber makanan utama untuk industri perikanan dan ayam.

Larva BSF mempunyai faedah yang besar, tetapi aktiviti pembiakan mereka telah menyebabkan kerugian besar kepada Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana serangan BSF boleh memusnahkan koloni lebah kelulut yang lemah dan juga yang kuat. Satu koloni boleh dimusnahkan dalam masa 2 minggu selepas BSF bertelur di dalam koloni. Pengesanan awal adalah penting untuk mengelakkan serangan ini daripada merebak. Salah satu langkah pencegahan yang boleh diambil ialah pemerhatian yang kerap dan teliti terhadap aktiviti luaran koloni lebah kelulut. Seboleh-bolehnya, pemerhatian juga dibuat dengan melihat di dalam sarang koloni kelulut untuk mengesan kehadiran BSF.

Larva BSF

Kaedah Kenal Pasti Serangan

Tanda paling mudah serangan sedang berlaku ialah apabila terowong masuk lebah kelulut kering dan propolis yang memenuhi kotak topping kelihatan seperti reput dan berkulat. Pada tahap kritikal, larva BSF boleh dilihat memenuhi sarang kelulut, manakala kantung madu dan roti pecah dan terdapat larva dalam kantung, pada tahap ini serangan akhir sedang berlaku.

Kantung Madu Pecah

Langkah-langkah Merawat dan Mengatasi Serangan BSF

Terdapat beberapa cara untuk mencegah serangan yang lebih teruk, termasuk melaksanakan langkah kawalan yang boleh meminimumkan risiko antaranya adalah:

• Kelambu/jaring saringan boleh dipasang di semua corong masuk lebah kelulut yang masih belum diserang

• Kekerapan proses tuaian perlu dikurangkan kerana bau madu akan menarik perhatian BSF. Selain sentiasa mengurangkan sisa madu/roti elbah yang bersepah selepas proses tuaian.

• Pemeriksaan koloni yang disyaki terjejas oleh serangan BSF sebagai langkah kawalan awal perlu dilakukan.

• Sekiranya kawasan pembiakan lebah kelulut telah dikesan terjejas oleh BSF, penternak perlu mengasingkan dan memindahkan koloni lebah madu yang sihat ke lokasi baharu yang kering dan jauh dari kawasan pembiakan lebah madu yang lain.

• Untuk langkah kawalan yang seterusnya, bakar log@hive yang terjejas, kerana peratusan penularan serangan kepada koloni-koloni yang lain adalah sangat tinggi.

“Kelambu/jaring saringan boleh dipasang di semua corong masuk lebah kelulut yang masih belum diserang”

Perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian dalam mengawal serangan BSF adalah seperti berikut:

• Suhu lembab dan hujan tidak menentu juga adalah punca pembiakan BSF secara aktif di kawasan penternakan lebah kelulut. Oleh itu pastikan haif kelulut tidak terlalu basah dan selalu terdedah keapda kelembapan.

• Pengurusan kawasan pembiakan yang bersih adalah penting kerana BSF mudah tertarik dengan sisa madu, propolis dan roti lebah. Ini termasuk memastikan sisa-sisa buangan, buah (semasa musim buah) dan lain-lain sentiasa diuruskan dengan baik dan tidak membiarkannya berdekatan dengan sarang kelulut.

Secara kesimpulannya, penternak-penternak perlu lebih kerap menjalankan pemeriksaan ke atas koloni lebah kelulut, sekurang-kurangnya seminggu sekali, sebagai langkah pencegahan awal dan mengelakkan serangan yang lebih serius.


Bibliografi

  1. http://animhosnan.blogspot.com/2016/09/bsf-serang-kelulut-laporan-akhbar.html
  2. http://animhosnan.blogspot.com/2016/10/perosak-ternakan-kelulut-part-1.html
leave your comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Top