Ciri-ciri dan Habitat Kelulut

Contents
3) Persamaan dengan lebah madu
4) Bagaimana cara untuk mengenal pasti koloni lebah kelulut
5) Adakah anda perlu untuk mengambil koloni kelulut ?
Kelulut dan habitatnya
Afrika, Australia, Amerika Tengah dan Selatan, serta kawasan tropika dan subtropika lain di permukaan bumi ini menjadi tempat tinggal bagi lebah kelulut. Lebah kelulut dipercayai berasal daripada kawasan Afrika dan Asia. Terdapat pelbagai jenis lebah kelulut dan setiap jenis atau spesis hidup dalam keadaan dan iklim yang tertentu. Beberapa spesies dapat ditemukan di hutan tropika, savana, dan kawasan transisi campuran seperti kawasan transisi savana kepada hutan tropika. Kelulut boleh dijumpai di benua Amerika (kawasan subtropika), Afrika, Asia Tenggara, dan Australia. Ini menunjukkan bahawa kelulut atau Meliponini berasal daripada benua lama Gondwana lebih dari 100 juta tahun yang lalu. Di saat ini, kawasan Neotropica menjadi tempat tinggal bagi sebagian besar spesies lebah tanpa sengat, yang menampilkan keanekaragaman taksonomi yang menakjubkan.

Ciri-ciri Kelulut
Oleh kerana kelulut telah menjadi sebahagian daripada budaya dan praktik amalan masyarakat, kepelbagaiannya telah menarik perhatian ramai orang untuk mengkajinya dariapda pandangan sudut etnobiologi* . Perkara-perkara tersebut menerangkan ciri-ciri mereka:
• Saiz badan kelulut yang lebih kecil berbanding lebah madu, membolehkan ia melawat bunga-bunga yang lebih kecil dengan bukaan yang sempit.
• Kelulut dikatakan melawat lebih banyak jenis bunga-bunga yang berlainan jenis.
• Kelulut tidak mempunyai sengat, ianya sangat sesuai untuk dibela di kawasan tempat tinggal tanpa menimbulkan masalah yang besar.
• Jika dibela dengan baik, lebah kelulut mempunyai daya tahan yang lebih baik, ia tidak akan meninggalkan sarang begitu sahaja atau lari dengan mudah, ini memberikan peluang pendebungaan sepanjang tahun untuk petani atau peladang.
• Lebah madu atau lebah Apis lebih terdedah kepada serangan kutu lebah atau dipangil sebagai hama Varroa (Varroa mites); kutu lebah mungkin boleh membiak di dalam haif kelulut, tetapi ia tidak akan menyerang lebah kelulut. Ini disebabkan oleh tabiat kelulut di dalam haif berbeza dengan lebah madu atau lebah Apis.
• Kelulut membina sarung kantung berbentuk sfera dan sedikit lonjong daripada resin tumbuhan. Kantung-kantung ini tersusun sebelah menyebelah dan dalam struktur kedudukan bulatan tidak simetri, berbeza dengan lebah madu yang membuat kom lilin yang tergantung secara menegak, yang juga digunakan untuk menyimpan madu dan membesarkan anak lebah (sel eraman).

• Lingkaran atau kepingan sel eraman yang dibentuk secara bertingkat atau berlingkar di antara satu kepingan dengan kepingan yang lain. Setiap keping sel eraman mempunyai usia yang berbeza.


Credit to: “Tetragonula Carbonaria Brood Structure” by Queenzlander CC BY-SA 4.0
Persamaan dengan lebah madu
Sepertimana lebah madu, kelulut juga hanya mengekalkan satu ratu permaisuri di dalam setiap koloni untuk tujuan pembiakan. Lebah pekerja akan membina kantung sel dan memasukkan makanan di dalamnya yang dipanggil sebagai “royal jelly”. Kemudian ratu lebah akan memasukkan telur ke dalam kantung sel dan di atas “royal jelly”, hasilnya telur ini akan menetas dalam keadaan terapung di atas “royal jelly” dan larva yang baru menetas ini akan terus memakan makanan tersebut. Di sekeliling sel eraman ini terdapat kantung-kantung madu yang lebih besar dan disokong oleh batumen, bahan yang sama digunakan untuk menutup haif daripada apa jua ancaman daripada luar.
Oleh itu, penternak kelulut perlu berhati-hati dalam memindahkan haif supaya larva yang membesar di dalam sel eraman tidak lemas dalam makanannya sendiri.
Bagaimana cara untuk mengenal pasti koloni lebah kelulut
Walaupun lebah kelulut ini lebih kecil, ia adalah pelawat setia ke ladang atau kawasan rumah kita, kepada yang belum mahir, mungkin ia kelihatan seperti tebuan atau lain-lain. Ada beberapa cara untuk mengenal pasti kelulut atau koloninya:
• Pintu masuk atau corong masuk: kelulut adalah pembina struktur yang hebat dan mempunyai struktur daripada resin getah yang kelihatan seperti ditampal dipintu masuk. Corong masuk ini berbentuk saluran yang memanjang dan bukaan yang sedikit tebal dan lebar dihujungnya. Pada masa-masa tertentu, corong akan kelihatan cerah, dan berlekit, menunjukkan keaktifan lebah kelulut. Bentuk dan warna corong ini akan berbeza daripada satu spesis dengan spesis yang lain.


• Aktiviti di sekitar corong masuk: koloni yang aktif akan sering keluar dan masuk di corong. Majoritinya adalah lebah pekerja yang terbang untuk mencari makanan atau sumber, manakala yang lain akan mengawal pintu masuk dan mengawasi sebarang ancaman daripada musuh seperti tebuan atau “black soldier fly”, atau ancaman daripada cicak, semut, dan juga manusia yang datang menghampiri haif. Walaupun ia tidak menyengat ia mampu memberikan gigitan yang boleh dirasakan.
Adakah anda perlu untuk mengambil koloni kelulut?
Anda perlu bersedia untuk menyediakan ruang dan persekitaran yang terbaik untuk kelulut, seperti mana habitat asal kelulut tersebut, sehampir yang mungkin. Setiap koloni yang anda jumpa boleh dipindahkan kedalam log kayu atau haif dengan menggunakan kaedah eduksi contohnya. Kotak haif yang baru ini hendaklah daripada kualiti yang terbaik dan tahan lama untuk koloni kelulut, selain daripada saiz yang sesuai untuk koloni kelulut.
Kaedah pemindahan ini akan memakan sedikit masa, sebaiknya koloni ini dibiarkan sahaja dan tanam tumbuh-tumbuhan berbunga dan mengeluarkan nektar dalam sekitar 500 meter daripada kawasan koloni kelulut. Ataupun gunakan kaedah perangkap kelulut atau pengumpan kelulut, kerana koloni yang matang akan berpecah dan terbang ke dalam sarang yang baharu, jika nasib anda baik, ia akan masuk ke dalam perangkap kelulut yang telah di letakkan di atas pokok dan di kawasan yang sesuai.
Kajian-kajian lain menunjukkan kelulut berbeza daripada lebah madu dariapda segi kualiti madu seperti kandungan air yang lebih tinggi, lebih berasid, tetapi lebih tinggi bahan antioksida dan aktiviti biologi.
Bibliografi
- Hrncir, M., Jarau, S. & Barth, F.G. Stingless bees (Meliponini): senses and behavior. J Comp Physiol A 202, 597–601 (2016). https://doi.org/10.1007/s00359-016-1117-9.
- Zamudio, F., Hilgert, N.I. Descriptive attributes used in the characterization of stingless bees (Apidae: Meliponini) in rural populations of the Atlantic forest (Misiones-Argentina). J Ethnobiology Ethnomedicine 8, 9 (2012). https://doi.org/10.1186/1746-4269-8-9.
- The organic farmer, Issue 207, October 2022.
- Kofi, Kwapong & K, Aidoo & Combey, Rofela & Karikari, Afia. (2010). Stingless Bees: Importance, Management and Utilisation: A Training Manual for Stingless Bee Keeping.
Etnobiologi ialah kajian tentang hubungan antara manusia dan alam, terutamanya dari segi penggunaan dan pengurusan sumber biologi, dan bagaimana pengetahuan, amalan dan kepercayaan masyarakat tempatan dan orang asli berkaitan dengan pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber mampan.