Loading…
  • METATECHNE ENTERPRISE
  • April 12, 2023

Rahsia Kelulut Tidak Naik ke Topping Terbongkar: Sumber dan Keadaan Kotak Topping Perlu Diperhatikan! Seterusnya cara untuk memujuknya

Rahsia Kelulut Tidak Naik ke Topping Terbongkar: Sumber dan Keadaan Kotak Topping Perlu Diperhatikan! Seterusnya cara untuk memujuknya

Kelulut merupakan serangga kecil yang sangat bernilai dalam industri madu dan penternakan kelulut semakin mendapat perhatian di Malaysia. Namun, isu kelulut yang tidak naik ke topping (atau liat untuk naik ke atas toping walaupun telah banyak kali mengoyakkan lapisan propolis yang menutupi lubang antara topping dengan log oleh kelulut) sering menjadi rungutan biasa daripada para penternak kelulut. Sebenarnya, banyak faktor-faktor yang menjadi punca masalah tersebut.

Salah satu punca utama adalah ialah keperluan untuk memotong log pada aras sel eraman (telur) dengan teknik yang betul. Walaupun cara ini seringkali akan membuatkan kelulut mengisi topping dengan kantung-kantung madu dengan cepat, tetapi jika caranya salah, ia tidak menjamin kelulut akan membuat kantung madu (menyimpan madu) di dalam kotak topping. Sebabnya, cara ini mempunyai risiko tersendiri apabila penternak secara tidak sengaja membunuh atau mencederakan ratu kelulut ketika memotong pada paras sel eraman. Ini boleh menyebabkan koloni mati secara perlahan-lahan.

Selain itu, perkara paling utama untuk menyelesaikan masalah kelulut yang tidak naik ke topping adalah memastikan sumber makanan dan sumber resin/damar kelulut mencukupi. Sumber makanan kelulut terdiri daripada nektar untuk menghasilkan madu dan pollen untuk menghasilkan beebread atau roti lebah. Jika sumber adalah mencukupi, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk kelulut naik ke kotak topping. Sumber resin/damar merupakan asas yang digunakan kelulut untuk membuat sarang, terutamanya kantung madu. Spesis-spesis umum seperti H.Itama dan G.Thorasica memerlukan resin dari pokok-pokok yang mengeluarkan getah seperti pokok getah, terap, nangka, cempedak dan lain-lain. Bagi spesies-spesis kelulut memerlukan damar, seperti T.Binghami, sumber resin damar hanya dihasilkan daripada pokok dari keluarga Dipterokarpa seperti kayu Merbau, Kapur, Meranti dan lain-lain. Malangnya, pokok-pokok damar ini biasanya hanya terdapat di kawasan hutan, menjadikannya sukar untuk memelihara spesies kelulut yang memerlukan damar ini.

Keadaan kotak topping seperti ketebalan dan saiz juga memainkan peranan. Ketebalan kayu kotak topping sepatutnya melebihi 1 inci dan saiz kotak toping perlu bersesuaian dengan spesies kelulut yang diternak. Pastikan potongan kotak topping adalah kemas dan lubang dapat ditutup dengan penampal silicon, tanah liat, atau propolis kelulut untuk mengelakkan pemangsa kelulut masuk ke dalam kotak.

Lokasi log juga memainkan peranan penting. Log kelulut sepatutnya diletakkan di kawasan yang redup dan tidak terkena terik matahari seharian. Keadaan koloni tersebut juga menjadi punca kelulut tidak naik ke topping. Koloni yang aktif dan kuat tidak akan mengalami masalah untuk naik ke topping, dan koloni baru sebaiknya dibiarkan selama 3 minggu hingga 1 bulan untuk serasi dengan keadaan sekeliling seterusnya memenuhi ruang kosong dalam kotak topping.

Kesan perubahan cuaca juga boleh mempengaruhi kelulut untuk tidak naik ke topping. Jika cuaca terlalu panas atau terlalu lembap, kelulut mungkin akan terasa tidak selesa untuk naik ke kotak toping. Oleh itu, penternak perlu memastikan keadaan sekeliling sarang kelulut selalu selesa dan sesuai untuk kegiatan kelulut.

Sekiranya semua faktor-faktor di atas bukan punca kepada masalah, apa yang perlu dilakukan? Jangan risau, di sini saya akan memberikan tip-tip yang pasti akan membantu anda memujuk kelulut anda naik ke topping!

Kaedah pertama menggunakan bekas plastik atau mangkuk kaca. Anda boleh mengunakan bekas plastik atau mangkuk kaca kerana ia boleh digunakan berulang kali. Tetapi, pastikan mangkuk kaca yang digunakan tahan lasak dan tidak mudah pecah. Telangkupkan bekas tersebut di atas lubang dalam topping, pastikan pilih saiz yang bersesuaian agara anda boleh tutup semula plastik penutup topping. Anda perlu membiarkan bekas plastik atau mangkuk kaca itu di dalam log sehingga kelulut membuat beberapa kantung madu di dalam bekas tersebut. Ia mengambil masa selama 1-2 minggu bergantung kepada ruang kosong yang ada dalam log dan keadaan persekitaran. Setelah itu alihkan bekas plastik atau mangkuk kaca.

Anda boleh juga mengambil beberapa kantung madu dari log lain. Pastikan semasa proses pemindahan, kantung madu dalam keadaan baik dan tidak bocor. Anda perlu letakkan kantung madu berdekatan lubang penghubung antara log dengan kotak topping.

Kaedah-kedah di atas telah digunakan oleh ramai peternak kelulut dan kejayaannya adalah sekitar 95%. Tetapi, pastikan koloni dalam keadaan kuat dan topping dalam keadaan baik. Disarankan untuk mencuba teknik ini pada musim bunga buah-buahan.

Dalam menjaga kelulut agar naik ke topping, penternak perlu mengambil kira semua faktor-faktor di atas. Selain itu, penternak juga perlu memastikan bahawa ia mengikuti panduan dan kaedah yang betul dalam pemeliharaan kelulut. Semua perkara ini akan dapat memastikan bahawa koloni kelulut sihat dan produktif dan menghasilkan madu berkualiti tinggi.

Recent Post

Search






Top