- METATECHNE ENTERPRISE
- January 8, 2026
Pengalaman Kursus Pembuatan 9 Jenis Sabun di Pertubuhan Usahawan Lebah Kelulut Segamat JBEES (Syifa Agro Farm)
Awal Pagi: Bertolak dari Johor Bahru
20 Disember 2025 (Sabtu) – seawal jam 5:00 pagi, saya bersama tiga orang sahabat, Saleh, Zairil, dan Adhar, sudah bersedia memulakan perjalanan dari Johor Bahru. Udara pagi itu masih dingin dan sunyi; jalan raya highway pagi-pagi sudah bersusun dengan kenderaan. Masing-masing masih menongkat mata, namun perasaan teruja jelas terasa. Kami bertolak dengan sebuah kereta, bergilir membahagikan tugas – Zairil memandu, saya di sebelahnya sementara Saleh dan Adhar di belakang sesekali bersembang ringan untuk menghangatkan suasana. Perjalanan menuju Segamat mengambil masa hampir tiga jam, singgah sebentar di RnR untuk solat subuh dan di sepanjang lebuh raya kami menyaksikan langit gelap perlahan-lahan cerah. Saat fajar mula menyingsing, semangat kami kian meningkat mengenangkan ilmu baharu yang bakal ditimba hari ini.
Ketibaan di Lokasi
Sekitar 8:00 pagi, kami tiba di dewan Pertubuhan Usahawan Lebah Kelulut Segamat JBEES (Syifa Agro Farm), Segamat, Johor. Tempat ini terletak di kawasan desa, Kampung Melayu Raya, Segamat, yang menghijau, jauh dari hiruk-pikuk bandar. Banner-banner program menyambut ketibaan kami, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan para peserta kursus pembuatan sabun. Sinar matahari pagi menyimbah kawasan ladang, menampakkan kebun dan kawasan penternakan kelulut di sekelilingnya.
Pendaftaran dan Sarapan Ringkas
8:30 pagi – Sesi pendaftaran peserta berlangsung di bangsal kecil di ladang tersebut. Beberapa orang urus setia menghulurkan “folder” kepada setiap peserta. Sambil mendaftar, kami disuguhi sarapan ringkas – kuih-muih tradisional dan teh O panas. Suasana mesra mula terjalin apabila penceramah, Ustaz Hidayat dan peserta-peserta saling bertegur sapa. Ada yang datang dari sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan, malah ada peserta tempatan Segamat sendiri. Dalam perbualan, kami berkongsi rasa tidak sabar untuk mempelajari pembuatan sabun natural secara hands-on.
Pengenalan Penceramah Utama
Tepat 9:00 pagi, kursus dimulakan dengan ucapan aluan ringkas daripada tuan rumah Syifa Agro Farm. Kemudian tibalah masa untuk sesi teori & asas sabun yang dinanti-nantikan. Penceramah utama kami, Ustaz Hidayat bin Syafii, tampil di hadapan kumpulan peserta dengan senyuman mesra. Beliau merupakan seorang ahli JBEES Johor (Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Johor) yang berpengalaman luas dalam bidang madu kelulut dan sabun herba (dan produk-produk hiliran yang lain-lain). Penampilan Ustaz Hidayat sederhana – berkemeja koperat, JBEES dan berkopiah – memancarkan peribadi merendah diri walaupun ilmu beliau tinggi.
Ustaz Hidayat memulakan sesi dengan memperkenalkan latar belakangnya. Beliau bercerita bagaimana beliau menceburi dunia penternakan kelulut (lebah tanpa sengat) dan mendalami pembuatan sabun herba sejak beberapa tahun lalu. Antara katanya, lebih kurang begini, minat itu bermula apabila melihat potensi madu kelulut dalam penjagaan kulit. “Alam semula jadi menyediakan penawar bagi banyak masalah kulit,” ujarnya dengan penuh semangat.
Sesi Teori: Asas Pembuatan Sabun Handmade
Suasana kelas teori berlangsung dalam suasana santai di ruang terbuka ladang. Ustaz Hidayat menggunakan slaid pembentangan yang dipancarkan pada skrin mudah alih. Slaid pertama memaparkan tajuk “Pembuatan Sabun Herba Handmade” dengan latar gambar berbagai jenis sabun berwarna-warni. Perhatian kami terikat pada setiap butiran yang dipaparkan. Beliau menerangkan asas pembuatan sabun – bermula dari konsep saponifikasi (proses tindak balas antara bahan beralkali seperti sodium hidroksida dengan minyak untuk menghasilkan sabun dan gliserin) hinggalah kepada langkah-langkah keselamatan asas. Walaupun bunyinya teknikal, Ustaz Hidayat menerangkan dengan bahasa mudah dan analogi menarik.
Dalam sesi teori ini, kami juga diperkenalkan kepada pelbagai bahan semula jadi yang akan digunakan dalam pembuatan sabun. Satu persatu gambar bahan dipaparkan di slaid, sambil Ustaz Hidayat menghuraikan khasiat dan fungsi masing-masing. Antaranya: madu kelulut sebagai pelembap dan antibakteria semula jadi, minyak kelapa dara (VCO) sebagai bahan asas minyak yang kaya nutrisi, daun bidara yang dikeringkan dan dijadikan serbuk untuk kesegaran dan aura positif, daun gelenggang (senna) sebagai ramuan merawat masalah kulit seperti ekzema, gel aloe vera untuk melembapkan dan merawat sunburn, serbuk kayu manis sebagai agen pengelupasan lembut dan antibakteria, daun neem atau daun semambu dengan ciri anti-kuman yang hebat, perahan lemon untuk aroma segar dan pencerahan kulit, serta propolis (getah lebah) sebagai ejen antifungus dan pengawet semula jadi. Mendengar penjelasan terperinci itu, saya semakin sedar betapa kaya alam semula jadi dengan bahan-bahan bermanfaat
Sepanjang sesi teori, suasana kekal interaktif. Peserta sesekali mengajukan soalan. Seorang peserta bertanya, adakah sabun buatan tangan ini selamat digunakan sekiranya ditambah dengan propolis kelulut. Ustaz Hidayat dengan tenang menjelaskan bahawa biasanya propolis direndam dalam minyak kelapa dara selama seminngu supaya ia larut dan larutan propolis itu boleh dicampur dengan sabun dengan selamat asalkan mengikuti sukatan dan langkah yang betul. Kami mengangguk faham. Ilmu teori yang diperoleh menjadi bekalan penting sebelum masuk ke bahagian praktikal. Setelah hampir sejam, sesi teori pun berakhir dan tak sabar kami mahu mencuba sendiri!
Demonstrasi Memetik Daun Herba di Ladang
Sebelum sesi praktikal bermula, Ustaz Hidayat membawa kami berjalan-jalan sebentar di sekitar ladang untuk satu demonstrasi istimewa. Beliau ingin menunjukkan cara mengenali dan memetik daun herba yang betul. Tidak semua kursus sabun berpeluang melihat sendiri sumber bahan; kami bertuah di Syifa Agro Farm yang mempunyai kebun herba sendiri.
Kami dibawa ke pokok semambu (neem) yang rendang berhampiran sudut pagar. Ustaz Hidayat menunjukkan cara memetik daun semambu yang tua tetapi masih hijau segar – daun yang terlalu muda kurang berkesan, manakala yang terlalu tua mungkin sudah kering. “Inilah daun semambu, atau neem,” katanya sambil meramas perlahan daun di tangkai, “bau daunnya pahit menyengat, tapi di situlah terletak khasiat anti-kuman untuk kulit.” Kami mencontohi beliau, berhati-hati memetik dan mengumpul beberapa tangkai daun semambu ke dalam bakul daripada dahan kelima daripada pangkal pokok. Seterusnya, kami ke pokok gelenggang yang tumbuh subur tidak jauh dari situ. Daunnya lebar dan hijau berkilat. Seorang petugas ladang menunjukkan saki-baki bunga kuning di pokok itu sambil bercerita ringkas bahawa pokok gelenggang juga dikenali sebagai “pokok kurap” kerana mujarab mengubati penyakit kulit.
Selain dua herba tersebut, kami juga berkesempatan melihat pokok bidara yang ditanam dalam pasu besar di tepi bangsal. Daunnya tidak dipetik pagi itu kerana sudah tersedia dalam bentuk pes cair untuk digunakan
Sesi Praktikal: Proses Pembuatan Sabun Langkah Demi Langkah
10:00 pagi – Inilah acara kemuncak yang ditunggu-tunggu, iaitu praktikal pembuatan sabun. Kami kembali dan berdiri di dalam dewan. Meja-meja segi emoat telah disusun dengan alat dan bahan sedia untuk setiap kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 3-4 orang, dan saya bersama Salleh, Zairil, serta Adhar semestinya berada dalam satu kumpulan – kumpulan yang riuh rendah dengan gurauan tetapi serius bila bekerja. Di atas meja kami, tersusun peralatan seperti dapur boleh alih, bekas stainless steel, bekas plastik, sudu pengadun, acuan-acuan sabun pelbagai bentuk dan lain-lain. Turut tersedia bahan-bahan asas: botol minyak kelapa dara (VCO), botol minyak zaitun, asas sabun (glicerin), pewarna, pewangi, botol berisi madu kelulut pekat keemasan, serta serbuk atau pes ekstrak herba seperti bidara, gelenggang, neem, kulit kayu manis, pes aloe vera, pati lemon, dan propolis lebah.
Untuk setiap jenis sabun, sukatan sedikit berbeza bergantung kepada bahan aktif herba di dalamnya. Bahan asas adalah asas sabun, minyak kelapa dara (VC) ) dan madu kelulut, dipanaskan perlahan sehingga cair dan sebati menggunakan dapur mudah alih dan bekas “double boiling”. Seterusnya, memasukkan bahan herba pilihan ke dalam adunan sabun. Di sinilah kreativiti terserlah – setiap kumpulan menghasilkan sabun dengan ramuan berbeza. Kumpulan kami memilih membuat Sabun Madu Kelulut dengan Aloe Vera. Kami menuang pes aloe vera ke dalam adunan sabun, lalu mengacau rata. Bau harum madu kelulut semerbak, dicampur aroma segar aloe vera – kombinasi yang menenangkan! Seketika, warna adunan bertukar sedikit kehijauan lembut setelah dimasukkan pewarna dan pewangi. Di meja lain, saya lihat kumpulan sebelah memasukkan pes cair daun bidara, sementara satu lagi kumpulan tekun menggaul serbuk kayu manis dan madu sehingga adunan berbau wangi rempah manis. Masing-masing asyik dan fokus, seolah-olah tukang sabun profesional.
Setelah adunan sebati dengan bahan herba, kami menuangnya ke dalam acuan. Adunan dituang kedalam acuan, perlahan-lahan untuk mengelakkan buih. Saya menggunakan spatula untuk meratakan permukaan adunan sabun dalam acuan. Kemudian, kami menutup acuan dengan sticker khas dan menyimpannya di satu sudut meja agar sabun mengeras secara perlahan.Kami gembira dapat hands-on pengalaman membuatnya dan mengulang proses pembuatan sabun untuk jenis yang lain-lain.
Sembilan Jenis Sabun Herba Dihasilkan
Sepanjang kursus ini, sembilan jenis sabun herba berjaya dihasilkan oleh para peserta di bawah bimbingan Ustaz Hidayat. Setiap jenis sabun mempunyai keunikan tersendiri dari segi bahan dan khasiat. Sembilan sabun tersebut adalah:
- Sabun Daun Bidara – mengandungi ekstrak daun bidara untuk kesegaran dan kegunaan mandi limau bidara (popular dalam rawatan Islam).
- Sabun Madu Kelulut – berasaskan madu lebah kelulut tulen, baik untuk melembapkan kulit dan antimikrob.
- Sabun Madu Lemon – kombinasi madu kelulut dan perahan lemon, menghasilkan sabun beraroma sitrus yang menyegarkan.
- Sabun Madu Kayu Manis – madu kelulut dicampur serbuk kayu manis, bersifat antiseptik dan berbau rempah manis.
- Sabun Madu Aloe Vera – gabungan madu kelulut dengan gel aloe vera, melembap serta merawat kulit sensitif (inilah sabun yang kumpulan kami hasilkan).
- Sabun Madu Gelenggang – dirumus dengan serbuk daun gelenggang, sesuai untuk masalah kulit seperti ekzema dan panau.
- Sabun Madu Neem – campuran madu dengan daun neem/semambu, terkenal mengatasi masalah jerawat dan ruam.
- Sabun Propolis – menggunakan propolis lebah, sabun ini mempunyai agen antifungus semula jadi dan baik untuk kulit bermasalah.
- Sabun Kombinasi Herba – sabun istimewa menggabungkan pelbagai herba (bidara, semambu, aloe vera, dll.) bersama madu kelulut, umpama “ramuan semua dalam satu” untuk manfaat menyeluruh.
Melihat senarai tersebut, saya berasa bangga dan puas. Setiap peserta dapat peluang mencuba resepi berbeza, dan akhirnya kami sama-sama menghasilkan sembilan jenis sabun yang unik dan bernilai. Sambil menanti sabun dalam acuan mengeras, kami saling berkongsi pandangan – sabun mana paling wangi, mana yang warnanya cantik, mana yang mahu dicuba dulu bila sudah siap nanti. Bau harum kayu manis, lemon, neem, dan aloe vera berlegar-legar di udara, membuatkan suasana kursus dipenuhi aroma herba yang menenangkan.
Penutup Kursus dan Penyampaian Sijil
12:00 tengah hari menjelang, menandakan berakhirnya kursus. Setelah semua adunan sabun siap dituangkan ke acuan dan dikemas, kami berkumpul semula di ruang depan untuk sesi penutup kursus. Ustaz Hidayat mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana berjaya menyiapkan kesemua sembilan jenis sabun. Beliau berharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan, mungkin untuk melatih komuniti atau memulakan usaha sabun homemade sendiri. Kami bertepuk tangan menghargai tunjuk ajar beliau yang amat mesra dan sabar sepanjang program. Tidak lupa, sesi penyampaian sijil diadakan sebagai tanda penghargaan. Satu persatu nama dipanggil; apabila nama saya disebut, saya melangkah ke depan dan menerima sijil daripada Ustaz Hidayat dengan perasaan bangga. Rakan-rakan seterusnya – Salleh, Zairil, Adhar, dan lain-lain – juga menerima sijil masing-masing sambil bergambar kenangan. Dalam gambar beramai-ramai, kami mengangkat sabun-sabun dalam acuan sebagai props, ketawa gembira penuh rasa pencapaian.
Tepat 12:30 tengah hari, kursus rasmi pun tamat dan para peserta pun menjamu selera makan tengahari sebelum bersurai. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada tuan rumah Syifa Agro Farm dan berterima kasih atas layanan mesra serta ilmu bermanfaat.
Sebelum pulang ke JB, kami singgah di stesen Petronas Jalan Genuang, Segamat. Di situ memang terdapat sebuah gerai menjual durian. Nasib kami baik, raja buah Musang King, Blackthorn, dan lain-lain ada dijual dan harganya pula sangat berpatutan berbanding di bandar. Aroma kuat durian sudah dapat dihidu dari tempat parkir. Tanpa melengahkan masa, kami membeli beberapa biji durian Musang King. Penjaga gerai membantu membelah durian-durian itu di meja kayu kecil di tepi gerai. Isinya kuning keemasan, berkilat dengan bau yang membuka selera.
Pengalaman ini benar-benar berharga dan menyenangkan, ibarat sebiji sabun wangi yang bakal mengharumkan kenangan kami, ditutup dengan kemanisan durian yang tidak akan kami lupakan. Terasa sudah tidak sabar pula untuk pulang dan berkongsi kisah pengalaman ini dengan komuniti serta menantikan sabun buatan tangan kami sendiri tiba kelak – sebagai bukti usaha kami pada hari penuh bermakna ini.
Recent Post
-
Perkembangan Terki...
February 3, 2026 -
Senarai Kursus/Sem...
January 12, 2026 -
Pengalaman Kursus ...
January 8, 2026 -
Hairul Kelulut: Us...
December 26, 2025 -
Perkembangan dan P...
October 13, 2025 -
Kunjungan Balas ke...
September 2, 2025 -
Sambutan World Bee...
May 25, 2025 -
Kursus Jinak Terna...
April 14, 2025
Tags
Search
Categories
- Activities (6)
- Administration (3)
- Bee Keeping | Penternakan Lebah (47)
- Important Notice (4)
- KDOJ News (3)
- News | Berita (12)
- Notice (4)
- Nuansa Kisah (6)
- Pest of Stingless Bees | Makhluk perosak kelulut (3)
- Plants for beekeeping | Pokok untuk Kelulut (3)
- Product | Produk (15)
- Recent Scientific Studies | Kajian Sains Terkini (47)
- Seminar (6)
- Tips | Petua (20)
Recent Post
- Perkembangan Terkini Sistem Pengesanan & Pengiraan Kelulut February 3, 2026
- Senarai Kursus/Seminar Kelulut Tahun 2026 (Fizikal & Online) January 12, 2026
- Pengalaman Kursus Pembuatan 9 Jenis Sabun di Pertubuhan Usahawan Lebah Kelulut Segamat JBEES (Syifa Agro Farm) January 8, 2026
- Hairul Kelulut: Usahawan Madu Kelulut dari Felda Bukit Ramun December 26, 2025
- Perkembangan dan Penjagaan Koloni Kelulut Geniotrigona Thoracica (2020–2025) October 13, 2025
