Penilaian ciri-ciri fizikokimia madu kelulut Malaysia (Evaluation of physicochemical properties of Malaysian stingless bee honey)
Sharina Shamsudin, Jinap Selamat, Maimunah Sanny, Nuzul Noorahya Jambari, Shamsul Bahri Abd Razak dan Alfi Khatib
Buletin Teknologi MARDI Bil. 24 (2021): 109 – 117
Komposisi madu kelulut boleh dipengaruhi oleh sumber bunga dan spesies lebah kelulut. Oleh itu, dalam kajian ini, ciri-ciri fizikokimia madu yang dihasilkan oleh Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica daripada tiga sumber bunga berbeza (gelam, akasia dan belimbing) dikaji. Madu Apis mellifera digunakan sebagai perbandingan. Hasil kajian menunjukkan madu daripada spesies dan sumber bunga berbeza mempunyai perbezaan yang signifikan dalam ciri-ciri fizikokimia. Berdasarkan hasil kajian, semua madu yang dikaji mematuhi ciri-ciri kualiti madu kelulut yang ditetapkan dalam spesifikasi madu kelulut Malaysia oleh Jabatan Standard Malaysia. Tambahan pula, data-data yang diperoleh boleh digunakan sebagai rujukan dan panduan oleh penternak lebah kelulut.
Fruktosa dan glukosa (gula penurun/reducing sugars) merupakan gula utama dalam madu. Madu yang berkualiti mengandungi jumlah fruktosa dan glukosa tidak melebihi 85 g/100 g madu seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia. Kandungan fruktosa, glukosa, sukrosa dan maltosa dalam madu ditentukan dengan menggunakan kromatografi cecair berprestasi tinggi dengan pengesan indeks biasan (HPLC-RI) dan dinyatakan sebagai gram gula per 100 g madu. Jumlah fruktosa dan glukosa dalam sampel madu yang dikaji adalah dalam julat 15.38 g/100 g madu – 24.11 g/100 g madu. Jumlah glukosa dan fruktosa paling rendah dikesan dalam madu gelam yang dihasilkan oleh G. thoracica manakala paling tinggi dalam madu akasia yang dihasilkan oleh H. itama. Jika dibandingkan dengan madu Apis, jumlah fruktosa dan glukosa dalam madu Apis adalah lebih tinggi (51.04 g/100 g madu).
